SUNGAI PETANI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penubuhan sebuah lagi parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Bangsa Malaysia tidak sesekali menggugat keberadaan parti pimpinannya.

Ini kerana, kata Anwar, kesemua ahli parti baharu itu sebelum ini telah mengkhianati PKR selain perjuangan mereka hanyalah berpaksikan pada kedudukan serta wang semata-mata.

"Dia (ahli parti baharu) sudah lama keluar (dari PKR)… khianat (itu berlaku) lama dah, sejak bila kita kata orang khianat akan menjejaskan Keadilan, (sepatutnya) tanya dia lompat sebab apa? (Jawapannya sudah tentunya) sebab wang, sebab kedudukan, semua orang tahu itu, (mereka ini) terhakis daya tahannya," tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pemantapan Pilihanraya PKR Kedah di Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai cadangan untuk Pakatan Harapan (PH) menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15), Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat dalaman gabungan berkenaan.

"Saya kata perkara ini tidak pernah disampaikan (kepada Majlis Pimpinan PH), tidak berbangkit (dalam mana-mana mesyuarat) dan tidak dibincang, dari segi Parti Keadilan Rakyat, kita akan terus bersama PH (hadapi PRU-15)," tambah Anwar lagi.

Pada Selasa, seramai 53,109 orang daripada sayap Penggerak Komuniti Negara (PKN) di seluruh negara dilaporkan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Presiden PKN, Nor Hizwan Ahmad berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersetuju menyertai Parti Bangsa Malaysia dengan agenda 'The Great Reset 2030' yang menumpukan pada enam tunjang utama.

Sebelum ini juga terdapat dakwaan beberapa bekas pemimpin kanan PKR di peringkat nasional mengasaskan Parti Bangsa Malaysia.