Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini juga merupakan salah satu usaha mengukuhkan parti.
Menurutnya, keputusan pemilihan menghadirkan nafas baharu buat UMNO sekali gus mendorongnya bergerak bersama dengan kepimpinan baharu sebagai satu pasukan demi memastikan parti itu bangkit semula.
"Saya telah berpesan kepada mereka bahawa yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua.
"Maka dengan keterangkuman ini, saya lakukan demi mengukuhkan semula UMNO yang pada tanggapan di luar sana ia berada di dalam keadaan cacamarba.
"Kali ini, setiap keputusan dibuat di peringkat bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri apatah lagi di peringkat nasional memperlihatkan satu gelombang yang baharu.
"Saya harus bersama-sama dengan mereka untuk membina kekuatan baharu UMNO ini dan merapatkan saf atau barisan dalam kepimpinan di setiap peringkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batu 8 di Gombak pada Jumaat.
BACA: Pemilihan UMNO: 'Saya tetap bersama membantu parti' - Hishammuddin
BACA: Asyraf Wajdi Setiausaha Agung UMNO yang baharu, Azalina dilantik Ketua Penerangan
Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diadakan di 13 negeri bermula hari ini dengan lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak, Selangor.
Selain merapatkan jalinan ukhwah di antara pihak kementerian dengan masyarakat, majlis itu juga menyantuni komuniti setempat dengan penyerahan sumbangan hamper kepada 40 orang masyarakat Orang Asli dan sumbangan bakul makanan kepada 30 penerima.
Bagi membantu menjana pendapatan penduduk setempat di musim perayaan, KKDW turut menyerahkan peralatan kepada 10 peserta 'Quick Win' KEMAS dalam bidang masakan dan 10 peserta lagi dalam bidang jahitan.