KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dilihat berkumpul di luar pekarangan Dewan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse, di sini pada Ahad.

Dipercayai ia berhubung Mesyuarat Jawatankuasa PN yang membincangkan mengenai pendirian terhadap usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Difahamkan, mesyuarat yang bermula sejak jam 4.30 petang di dalam Dewan PAUM itu, turut dihadiri pemimpin akar umbi termasuk ahli Parlimen PN.

Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia bermula Isnin dengan agenda utamanya antara lain bakal menyaksikan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. Pantau kerajaan baharu DI SINI!



Keadaan di luar Dewan PAUM Clubhouse pada Ahad. - Foto Sinar Harian


Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November, mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa PN akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan pendirian gabungan parti itu mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, walaupun beliau yakin sebahagian besar Ahli Parlimen daripada PN tidak akan menyokong usul berkenaan, namun keputusan mereka sama ada menyokong atau sebaliknya itu tidak boleh dipaksa. -- Sinar Harian