LIPIS: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan pemecatan bekas pengerusi parti itu di Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai suatu perkara biasa sekiranya terdapat mana-mana ahli yang melanggar disiplin parti.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu malah menyifatkan perkara sama pernah berlaku kepada Pas yang mana bekas Yang Dipertua Agung, Datuk Mohd Asri Muda juga pernah dikenakan tindakan disiplin sekitar tahun 1980an.

“Dalam disiplin parti itu perkara biasa. Dulu dalam ‘parti lama’ Pas dulu, Datuk Asri pun diambil tindakan disiplin.

“Orang yang langgar disiplin (parti) akan diambil tindakan. Justeru ia perkara biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada selepas program Jelajah Mega Harapan di Pasar Tambun dekat sini pada Ahad malam.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kebangsaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng serta Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi PH Kebangsaan sebelum itu diminta mengulas berkenaan tindakan Amanah yang memecat Phahrolrazi berkuatkuasa serta-merta pada Ahad.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, dilaporkan berkata bekas Pengerusi Amanah Kedah itu telah mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

BACA: PRU15: 'Jangan pandang rendah, saya tidak berseorangan', kata Phahrolrazi selepas dipecat

BACA: PRU15: Pengerusi Amanah Kedah dipecat

Media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu tidak berpuas hati apabila kerusi Parlimen Jerai diserahkan kepada DAP untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohamad turut diminta mengulas berkenaan keputusan PH yang memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong dan Parlimen Jerai ditandingi calon DAP dan bukan daripada Amanah.

Secara ringkas beliau berkata tiada bantahan yang diterima daripada kalangan parti berhubung ketetapan dua kerusi itu selain hubungan dengan DAP juga baik.

“Tidak ada bantahan apa-apa. Tak ada masalah (hubungan antara Amanah dan DAP),” ujar beliau.

Kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Muhaimin Sulam, diumumkan parti itu sebagai calon bagi bertanding di kawasan berkenaan.


DAP kemudian mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi sama.

Anwar kemudian dilaporkan berkata hasil perbincangan antara pemimpin tertinggi PH, gabungan itu memutuskan DUN berkenaan akan ditandingi calon daripada DAP.