Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan bahawa nama parti baharu yang akan dibentuk dikenali sebagai 'Pejuang'.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan perkara itu menerusi satu ciapan di akaun Twitter peribadinya dalam bentuk sajak pada Rabu.

Parti Baharu 'Pejuang'
Parti kami ditubuh kerana kesedaran.
Rasuah menghancur bangsa.
Rasuah yang hancur orang Melayu.

Jika ingin dapat jawatan dan wang.
Pilih parti lain.

Jika ingin tebus maruah.
Jika ingin kekal hak kita.
Pilih parti kami.
Pilih 'Pejuang'.


Itu sebahagian bait ayat yang dimuat naik dalam ciapan tersebut.


Bagaimanapun setakat ini masih belum jelas atau tiada kenyataan rasmi pihaknya sama ada akan menggunakan perkataan 'Pejuang' sebagai nama penuh atau hanya singkatan daripada perkataan tertentu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 7 Ogos lalu mengumumkan akan menubuhkan parti baharu yang berasaskan kepada perjuangan Melayu dan pribumi, seperti Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menerusi catatan turut berkata, penubuhan parti itu atas kesedaran mengenai rasuah yang akan menghancurkan bangsa dan orang Melayu.

"Parti yang ditubuhnya sebelum ini iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah 'dirampas' untuk selamatkan musuh kita (Barisan Nasional).

“(Bersatu) ditubuh untuk hapuskan kleptokrat. Sekarang beralih untuk selamat kleptokrat, kerana apa, kerana jawatan dan wang,” tulisnya.