KUALA LUMPUR:Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sehingga kini pendaftaran parti itu belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), walaupun semua syarat telah dipenuhi.

Beliau berkata kelulusan pendaftaran parti itu kini tertakluk kepada menteri yang berkenaan.

"Kita dah penuhi semua syarat yang dikehendaki kerajaan, tapi keputusan (kelulusan) ini perlu dirujuk kepada menteri," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini ketika diminta mengulas status pendaftaran Pejuang yang ditubuhkan pada Ogos lalu.

RoS berada di bawah Kementerian Dalam Negeri dan menteri bertanggungjawab ketika ini ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sebelum ini, pada 29 Okt Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah berkata sejak dua bulan lalu Pejuang telah mengemukakan tujuh permohonan pendaftaran kepada RoS, tetapi sehingga kini pihaknya belum mendapat jawapan bertulis daripada Menteri Dalam Negeri mahupun RoS.

RoS kemudian memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Pejuang masih dalam penelitian dan semakan.

-- BERNAMA