PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi kebebasan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa pengundi di Padang Serai, Kedah meminta bayaran untuk pulang mengundi.

Saifuddin berkata, pihaknya memberi kepercayaan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani untuk menyiasat kenyataan berkenaan sekiranya dakwaan itu berasas.

"Kenyataan dikeluarkan oleh Sanusi berkenaan kalau ada asas untuk polis membuat siasatan, mereka akan berbuat demikian.

"Saya percaya tahap profesionalisme pasukan polis dan berikan sepenuh ruang kepada Arcyl Sani dan pasukan beliau.

"Saya beri ruang kebebasan sepenuhnya berdasarkan merit laporan berkenaan ataupun kandungan sesuatu aduan itu," katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Selasa.

Pada Isnin media tempatan melaporkan, Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menggesa pihak berwajib supaya menjalankan siasatan terhadap kenyataan dibuat Muhammad Sanusi dalam satu video kempen di TikTok.

Menurut laporan berkenaan, Sanusi dalam ucapannya membandingkan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang sanggup berbelanja untuk pulang mengundi berbanding pengundi Perikatan Nasional (PN).