KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetap komited dalam memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai menerusi kenyataan hari ini berkata dakwaan kononnya dua parti komponen GRS berkenaan ingin bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang adalah tidak berasas.

"Apa yang dilaporkan tidak lebih daripada spekulasi yang dijaja pihak tidak bertanggungjawab dengan niat jahat untuk memecahkan perpaduan yang kukuh dalam GRS," katanya yang juga Ketua Penerangan PBS.

Baru-baru ini tular hantaran Facebook oleh Ketua Bahagian PBS Petagas Azmi Ahmad yang mendakwa gabungan PBS, STAR dan Warisan akan dilakukan menjelang PRN Sabah akan datang.

Selain PBS dan STAR, parti komponen GRS yang lain ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Joniston berkata Hajiji dan pemimpin parti komponen GRS juga kerap melakukan pertemuan bagi menangani isu negeri dan parti, sekali gus mencerminkan perpaduan yang kukuh dalam gabungan itu.

Beliau berkata Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam komited terhadap GRS, malah pada mesyuarat Majlis Pimpinan Bersama (JLC) PBS-STAR baru-baru ini, kedua-dua pihak turut menekankan keperluan menyelaraskan usaha bagi mengukuhkan GRS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian PBS Petagas Ng Tze Tsai dalam kenyataan berasingan berkata hantaran yang dilakukan oleh Azmi tidak mewakili pendirian PBS atau Bahagian PBS Petagas tetapi bersifat pandangan peribadi.

"Kami komited untuk memberi sokongan kepada GRS di bawah pimpinan Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah," katanya.

-- BERNAMA