Terbaharu sekitar jam 4.50 petang, terlihat kelibat dua lelaki dipercayai pekerja penghantaran membawa bungkusan plastik yang tertera jenama pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas (GSC) memasuki perkarangan pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Rabu.
Perkara itu membuatkan para media tertanya-tanya sama ada benarkah apa yang dimaksudkan beliau pada pagi ini iaitu mahu menonton wayang sebelum meninggalkan kediamannya di Bandar Sungai Long.
Bagaimanapun, beliau tidak lama selepas itu meninggalkan pejabatnya di Bukit Gasing.
Apa yang menarik perhatian, beliau sempat memberikan salah satu bungkusan tersebut kepada petugas media sebelum diedarkan kepada yang lain.
Apabila ditanya hendak ke mana, sekali lagi beliau menjawab, "Nak tengok wayang" sebelum beredar.
BACA: Pasca PRU15: 'Pergi tengok wayang' - Anwar
Astro AWANI masih lagi memantau ke mana arah tuju beliau.
Namun dalam perkembangan pada hari ini di depan perkarangan pejabat Anwar, beberapa ahli-ahli PH kelihatan di sini.
Antaranya, Ketua Angkatan Muda Keadlian (AMK) Adam Adli, dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen.
Turut kelihatan adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari serta Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Yang menarik perhatian termasuk, ketibaan Presiden Parti Cinta Sabah dan Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Masih belum jelas tujuan perjumpaan mereka di sini.