KUALA LUMPUR: Tular di media sosial pada Rabu, surat yang didakwa dari Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen gabungan tersebut kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Kandungan surat itu juga menyatakan, apa-apa dokumen bertulis sama ada dalam bentuk surat atau akuan oleh mana-mana 30 ahli Parlimen BN yang menamakan seorang ahli Dewan Rakyat lain selain Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah tidak sah dan tidak mewakili gabungan itu.

Surat tersebut dikongsikan oleh bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di laman Facebook beliau dan mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong cuba ditipu.

"Jika surat kepada Seri Paduka Baginda YDP Agong merupakan satu percubaan menipu YDP Agong ianya satu kesalahan yang amat berat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada bulan Oktober 2020.(kononnya semua MP BN ketika itu menyokong Anwar menjadi PM menggantikan TSMY - satu pembohongan).

"Laporan polis patut dibuat agar penyiasatan dibuat atas perbuatan durjana ini terhadap YDP Agong.

"Rakyat dan ahli UMNO dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan kedurjanaan ini jika benar ia telah dilakukan," katanya.

LIHAT KEPUTUSAN PRU15 DI SINI


Astro AWANI sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan dari pejabat Pengerusi BN tentang surat yang tular tersebut.

Sehingga kini, selepas empat hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu, belum ada mana-mana gabungan dapat membentuk kerajaan.

PH dan Perikatan Nasional (PN) kini sedang bersaing untuk mendapatkan sokongan dari parti lain.