Azman berkata beliau beraspirasi bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin serta wakil rakyat lain yang telah dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menjadi pembangkang berwibawa dan memantau tindak-tanduk Kerajaan Perpaduan.
"Syukur ke hadrat Allah atas kemenangan dengan majoriti besar untuk PN malam ini. Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan ini adalah satu kemenangan buat rakyat Malaysia.
"Terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi di Padang Serai kerana memilih saya sebagai wakil rakyat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRU15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini malam tadi.
Keputusan pilihan raya itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah pada 10.55 malam.
Azman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, memperoleh 51,637 undi menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.
Calon PH Dr Mohamad Sofee Razak pula memperoleh jumlah undi kedua tertinggi iaitu 35,377 diikuti calon Barisan Nasional Datuk C Sivaraj (2,983 undi), calon Bebas Sreanandha Rao (846 undi), calon Pejuang Hamzah Abd Rahman (424 undi) dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim (149 undi).
Menteri Besar yang juga Pengerusi PN Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula berkata kemenangan Azman dengan majoriti undi sebanyak itu adalah satu pencapaian yang amat baik kerana Parlimen Padang Serai sebelum ini dikuasai PH selama tiga penggal.
"Kali ini rakyat menunjukkan satu isyarat bahawa pengundi dan rakyat di kawasan ini bersama PN dengan majoriti 16,260 undi. Saya juga mengucapkan tahniah kepada calon lain yang bertanding," katanya.
-- BERNAMA