Pas menolak kemungkinan untuk parti itu membentuk kerajaan perpaduan sama ada dengan parti-parti pembangkang mahupun Barisan Nasional (BN), kerana parti itu yakin dengan kekuatannya untuk bergerak dengan sendiri.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Pas akan kekal menjadi pembangkang tetapi ia bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti, termasuk BN dalam isu-isu berkaitan rakyat.

"Kita (Pas) lebih memelihara hubungan dengan rakyat bukan hanya dengan ahli-ahli parlimen sahaja. Kita telah mengadakan Kongres Rakyat yang akan menjadi landasan kepada kita untuk bergerak membela rakyat," katanya pada pemberita di lobi Parlimen hari ini, sebagai mengulas pendirian Pas masa kini.

Dalam hal ini, beliau berkata, pas tidak akan mengamalkan pendekatan menyerang, sebaliknya sebagai sebuah parti pembangkang yang akan memberi pencerahan dan cadangan kepada kerajaan dalam menangani semua isu berkaitan rakyat.

Sambil memberi contoh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Abdul Hadi berkata, Pas tidak setuju dengan GST tetapi Pas mencadangkan apakah alternatif untuk menampung hasil kerajaan selain GST.

"Kita ada cadangan kita, termasuklah penurunan nilai mata wang, kita ada pendekatan kita bagaimana hendak menaikkan mempertahankan nilai mata wang kita," katanya.