KUALA LUMPUR: Kerjasama baik antara kerajaan dan pembangkang boleh dilaksanakan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengutamakan pemberian peruntukan ahli Parlimen yang sama rata.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khiruddin berkata, perkara itu merupakan antara janji termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad, Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, hubungan simbiotik kerajaan dan pembangkang perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat.

“Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, PN ada kemukakan hujah sekiranya kita ingin mewujudkan kerjasama yang baik di antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan ahli Parlimen mestilah sama rata secara keseluruhannya.

“Perkara ini juga termaktub di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang kini menerajui Kerajaan Campuran.

“Kami melihat bahawa hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat seperti yang diamalkan ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM

Khairil Nizam berkata, PN menjanjikan empat kriteria yang diutamakan sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

Jelasnya, empat kriteria itu akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih efektif, membina, membangun polisi-polisi yang menguntungkan rakyat serta jujur dalam tanggungjawab sebagai suara rakyat.

Beliau berkata, agenda transformasi institusi Parlimen wajib diutamakan seperti pemerkasaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan jawatankuasa lain, bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berasaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

Katanya lagi, PN akan memastikan empat pendekatan itu dilaksanakan dengan efektif bagi tujuan semak dan imbang yang berkesan dan menguntungkan rakyat dan negara.

Tambahnya, semua pihak mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama, tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan.