PAS mengeluarkan surat arahan kepada bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa untuk tampil ke Dewan Harian PAS Pusat, 24 November ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata Husam perlu memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan beliau yang dibuat kepada umum sebelum ini.

"Saya menyatakan pendirian parti dan saya sendiri telah keluarkan surat kepada Datuk Husam Musa supaya dia tampil, hadir di depan Dewan Harian PAS pada 24 November, hari Selasa depan supaya dia boleh memberi penjelasan kepada Dewan Harian PAS.

"Kalau sekiranya dia (Husam) rasa Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) adalah pihak berkepentingan, mungkin tanpa kehadiran Presiden, dia boleh bagi keterangan di hadapan Dewan Harian, yang masih ada Timbalan Presiden, Naib Presiden yang tidak terlibat... dia boleh beri pandangan," kata Takiyuddin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Malah katanya, Husam boleh tampil dengan membawa bukti-bukti kepada Dewan Harian PAS bagi memberi penjelasan terperinci.

"Dalam surat itu saya menyatakan beliau boleh bawa semua bukti, dokumentari dan sebagainya yang dia ada, dia perlu hadir di depan Jawatankuasa Harian PAS Pusat, ini bukan Jawatankuasa Disiplin," katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, PAS kekal dengan pendirian tidak membenarkan apa-apa perdebatan ataupun perbincangan mengenai isu dalaman parti, dibawa ke luar.

"Sebenarnya isu ini isu dalaman PAS berhubung beberapa kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh beberapa bekas pemimpin PAS dan juga pemimpin PAS berkenaan beberapa isu.

"Misalnya, kononnya Presiden PAS telah berusaha pada suatu masa dahulu berusaha menggabungkan PAS dan UMNO dan sebagainya, isu di Selangor dan sebagainya.

Justeru, beliau menegaskan PAS tidak membenarkan mana-mana pihak menganjurkan perdebatan.

Husam dalam laporan sebelum ini mendakwa Abdul Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Baharu yang dikongsi di Facebook Husam 6 Nov lalu.

Tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin PAS termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali yang mengajak Husam untuk bersemuka dalam majlis terbuka bagi mendapatkan penjelasan berhubung kritikan tersebut.