Tiada makna bagi Pas untuk membentuk pakatan pembangkang baharu jika tidak inklusif, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Mereka (Pas) perlu yakinkan rakyat bahawa mereka mampu melaksanakan agenda perubahan dengan baik," kata Guan Eng ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.

Agenda yang dimaksudkan termasuk memerangi rasuah serta pengamalan urusan pentadbiran yang cekap.

"Apa yang saya lihat adalah ia (pakatan baharu Pas) tidak akan membawa sebarang makna untuk perubahan jika mereka tidak bertegas dalam soal rasuah dan juga soal pentadbiran kerajaan.

"Kita boleh lihat di Kelantan ... ia kurang meyakinkan," kata Guan Eng merujuk kepada pentadbiran kerajaan negeri yang terkenal dengan gelaran 'Serambi Mekah' itu.

Beliau memberi contoh urusan tanah rizab serta pembalakan hutan dan juga pembinaan semula rumah bagi rakyat mereka yang terjejas dalam banjir besar pada penghujung 2014.

Guan Eng diminta mengulas pengumuman oleh Pas bahawa satu pakatan pembangkang baharu akan dibentuk dengan sebuah parti pelbagai bangsa sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 yang akan datang.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata pakatan tersebut akan bergerak sebagai 'kuasa ketiga' dalam arena politik negara selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kata Takiyuddin lagi, pengumuman rasmi mengenai pakatan tersebut akan dibuat pada 16 Mac ini.