BATU PAHAT: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebegai timbalannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday dilantik sebagai Pengarah Operasi, manakala Pengerusi War Room, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Jentera di peringkat negeri di bawah Onn Hafiz dan jentera di peringkat bahagian di bawah kepimpinan Md Jais yang diatur gerak merupakan kombinasi terbaik dalam memberikan kemenangan kepada BN di Mahkota kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Pentauliahan ke -15 Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan 2024 di Universti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan senarai calon telah diterima daripada UMNO Bahagian Kluang, namun belum disenarai pendek untuk diumumkan.

"Perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu, namun saya amat hormati hierarki di peringkat bahagian dan negeri sebelum memutuskan soal calon.

"Bagaimanapun, calon yang diputuskan kelak perlu memiliki konsep "Wali" iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable)," katanya.

Pada PRK Nenggiri, calon BN, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang memperoleh 5,739 undi.