Anak perempuannya, Nooryana Najwa berkata, bapanya itu yakin dan percaya hanya BN sahaja sebuah parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat dan boleh transformasi negara lebih maju pada masa depan.
"Yana (Nooryana) harap kalau ada sesiapa rindu bossku (Najib) berilah satu berita gembira kepada beliau yang sanggup berkorban untuk BN seterusnya ingin melihat parti ini memimpin negara," katanya ketika berucap pada Program Bicara Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tonggak 10 pada Jumaat.
Menurut Nooryana, BN perlu menang dengan jumlah kerusi dan majoriti lebih besar untuk memimpin serta membentuk kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, semua jentera perlu bekerja keras dan memberi perhatian untuk menarik sokongan pengundi demi kemenangan BN.
Ujar beliau, aura 'Bosssku' sentiasa bersama dengan rakyat walaupun terpisah dengan tembok penjara.
"Walaupun ayah di sana (penjara), tetapi beliau sentiasa fikir tentang tiga perkara sahaja iaitu BN, UMNO dan rakyat," kata beliau.
Menurut Nooryana, Najib berpuas hati setelah meneliti senarai calon BN termasuk pemilihan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selaku calon kerusi Parlimen berkenaan.
"Apabila ayah dapat tahu Jamal jadi calon BN di Sungai Besar, ayah berasa bangga sangat dan ayah berpesan walau apa jua keadaan pun Yana mesti turun ke Sungai Besar untuk memberi sokongan kepada Jamal.
"Bossku tahu Jamal sebenarnya seorang yang berani dan setia serta mempertahan parti, malah Bossku sendiri tidak pernah lupa jasa parti kepada beliau," ujarnya. -Sinar Harian