Ada banyak yang hendak diperkatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau berdiri di atas pentas pada Khamis ini bagi merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 ketika parti semakin rancak melakukan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pesanan itu akan didengar dengan teliti oleh lebih 5,700 anggota parti yang akan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bersempena perhimpunan tersebut, sambil mereka dan anggota parti yang lain bersedia memperhebat usaha memenangi hati dan minda rakyat untuk memastikan kemenangan dalam PRU14.

Pilihan raya itu yang dijangka menjadi satu pemilihan paling sengit bagi mereka yang mendambakan Putrajaya selaku tampuk kuasa, kini disifatkan sebagai 'ibu segala pilihan raya'.

Presiden UMNO itu yang juga Perdana Menteri, dijangka mengingatkan lebih tiga juta anggota UMNO bahawa parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) tersebut masih kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran, serta berkemampuan melunaskan janjinya kepada rakyat.

Najib berkemungkinan besar memberi penekanan kepada peranan utama UMNO dalam menjuarai kaum Melayu dan komuniti lain di samping membawa kemajuan kepada negara ini - satu peranan yang telah terbenam rapi dalam sejarah parti berusia 71 tahun itu.

"UMNO sebuah parti yang menjuarai rakyat, menyayangi negara ini, sedia berkorban hingga ke titisan darah terakhir untuk Malaysia, UMNO adalah kepunyaan rakyat dan anggotanya, bukan milik individu tertentu," kata Najib dalam catatan blognya baru-baru ini.

Pemerhati berpandangan Najib akan menggariskan keperluan anggota parti mengetepikan sebarang keraguan berhubung kekuatan parti pada PRU14 nanti dan betapa perlunya mereka menanam mentaliti menang ketika keluar meraih undi untuk UMNO dan BN menjelang pilihan raya tersebut.

Menerusi UMNO sebagai tulang belakang, pentadbiran Najib mempunyai rekod yang terbukti dari segi pelunasan janji melalui pelbagai inisiatif yang dibuat bagi memastikan kesejahteraan lebih 30 juta penduduk Malaysia dan kemakmuran negara.

Pemimpin UMNO termasuk di peringkat akar umbi perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan tentang pencapaian ini untuk disebarkan kepada rakyat semasa mendapatkan sokongan bagi parti dan juga BN yang dipengerusikan oleh Najib.

Namun, apa yang lebih menarik bagi mereka ialah untuk mendengar bagaimana Najib menangani naratif negatif tentang beliau dan pentadbirannya berhubung isu-isu seperti 1 Malaysia Development Berhad, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kedaulatan Malaysia dalam hubungan pelaburan asing serta dakwaan salah urus ekonomi negara ini.

Presiden UMNO itu mungkin akan turut membidas pengkritikknya berhubung usaha-usaha berterusan dan tersusun untuk menjatuhkan beliau dan kerajaannya termasuk dengan memutarbelitkan fakta serta menggunakan berita palsu dengan ada masanya penglibatan secara langsung media antarabangsa.

Pastinya sukar bagi beliau untuk tidak melontarkan hakikat bahawa negara ini akan terus berada dalam keadaan selamat di bawah pimpinan UMNO dan BN bagi lima tahun lagi.

Najib mempunyai alasan yang kukuh untuk yakin dengan keupayaan UMNO dan BN dalam menunaikan janji mereka berhubung kestabilan dan kemakmuran berterusan negara ini berikutan keadaan kucar-kacir barisan pembangkang sekarang dengan anggotanya saling bergaduh demi perjuangan dan agenda berbeza.

Sekalipun semua parameter seperti pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan kedudukan negara di peringkat antarabangsa serta keadaan pembangkang yang memihak kepada UMNO dan BN, tidak rugi untuk mengingatkan bahawa pembangkang akan berjuang habis-habisan untuk menafikan parti memerintah satu lagi kejayaan pada PRU14 nanti.

Perhimpunan UMNO dari 5 hingga 9 Dis ini akan bermula pada Selasa dengan Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup diikuti perasmian serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO dijadualkan pada Rabu manakala perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada Khamis.

Beberapa acara sampingan telah disusun bersempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini seperti Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2017 (Pemanas 5.0), Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur, Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik 2017 dan lain-lain yang berkaitan dengan Kelab UMNO Luar Negara.

-- BERNAMA