Mudir Madrasah Tahfiz Al-Hajj, Permatang Badak di sini, Benzin Dagok bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching menentang tiga calon lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bertanding atas tiket Bebas, Benzin yang berusia 57 tahun itu bakal dicabar penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaili Besar, 52 tahun, dan calon PAS, Mohd Tarmizi Yahaya, 43 tahun, serta calon PKR, Kamarzaman Mohamed Yunus, 62 tahun.

Benzin berkata, ini adalah kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya umum dan berharap pengundi memilihnya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau akan membawa hal-hal kemanusiaan yang lebih dekat di hati rakyat selain kesefahaman dalam agama Islam.

"Saya punya prinsip yang tersendiri dan jika rakyat memilih saya, saya yakin banyak perkara baharu yang dapat mereka lihat dengan mata hati.

"Saya mahu anak-anak musa sekarang ini kembali kepada landasan Islam yang sebenar kerana jika dibiarkan, anak-anak muda ini akan berpecah," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon bagi Parlimen Paya Besar dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibawahnya di Dewan SUKPA di sini, hari ini.


Penamaan calon berkenaan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Paya Besar, Datuk Zaliza Zulkipli di hadapan lebih 1,000 penyokong yang mula berkumpul seawal pukul 7.30 pagi.

Benzin berkata, beliau memilih lambang cincin kerana ia adalah tanda kasih sayang, persaudaraan dan silaturrahim.

"Saya harapkan masyarakat di DUN Panching dapat menerima dan memilih saya sebagai wakil rakyat. Saya tahu ramai yang mengenali saya di kawasan itu dan mereka akan mengundi saya," katanya.