KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim memfailkan saman pemula bagi menghentikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Mohd Azizi selaku plaintif memfailkan saman pemula itu pada 24 Jun lepas melalui Tetuan Shankar Govinth dengan menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan SPR sebagai defendan pertama hingga keempat.

Dalam saman pemula itu, Mohd Azizi yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan atau dilakukan oleh SPR (defendan keempat) kerana ia masih disandang oleh plaintif.

Beliau turut memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.

Plaintif juga memohon pengisytiharan agar pengumuman Surat Makluman daripada Mohd Amar (defendan ketiga) kepada SPR bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong, digantung pelaksanaannya.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal dan pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.

Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu, pendengaran permohonan injunksi Mohd Azizi bagi menghentikan pilihan raya kecil itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, esok.

-- BERNAMA