KLANG: MIC hari ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan bekerjasama dengan Bersatu.

Presidennya Tan Sri S.A Vigneswaran berkata pendirian itu diambil MIC buat masa ini sementara menunggu perkembangan baharu daripada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Sebaiknya BN mencari kesepakatan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sini.

Vigneswaran juga mahu sebarang keputusan untuk bekerjasama dibuat secara musyawarah dalam kalangan parti komponen demi kepentingan rakyat.

Tidak ada salahnya BN menerima parti lain yang berhajat menyertai gabungan berkenaan kerana BN perlu mengumpulkan semula kekuatan selepas kalah pada PRU14, katanya.

Malah tegas Vigneswaran, BN seharusnya memanfaatkan kekuatan parti lain termasuk Bersatu bagi menghadapi PRU15.

UMNO baru-baru ini membuat ketetapan untuk bergerak secara solo dan bertanding di bawah logo BN pada PRU akan datang, selain kerjasama mereka dengan Bersatu hanya diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, Vigneswaran juga meminta BN memastikan MIC diberikan kerusi yang boleh dimenangi pada pilihan raya demi memastikan masyarakat India tidak ketinggalan daripada arus kemajuan.

Pembahagian kerusi katanya harus bersandarkan kepada realiti politik di peringkat akar umbi.

"Jangan cuba menghina kami dengan kerusi-kerusi pasti kalah kerana pelbagai faktor," tegasnya.

Perhimpunan tersebut yang diadakan secara hibrid dihadiri lebih 2,000 perwakilan dengan 440 secara fizikal dan bakinya secara maya.

Hadir sama Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sementara Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap secara maya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyampaikan ucapan khas secara maya.

-- BERNAMA