Wakil perbahasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zainal Rafique mengajak perwakilan untuk merenung kembali penguasaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di kawasan bandar di mana majoriti kerusinya dimiliki pihak pembangkang.
Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius oleh pimpinan tertinggi di peringkat pusat memandangkan UMNO dan BN hanya memenangi dua kerusi di parlimen bandar.
"Kita hanya menang di Kangar dan Johor Bahru. Kita turut tewas di kebanyakan kerusi parlimen di kawasan-kawasan pinggir bandar seperti Ampang, Pandan, Gombak dan banyak lagi.
"Di Wilayah pula, terdapat 13 kerusi parlimen. Kita menang di Putrajaya dan Labuan sementara kita menang di Setiawangsa dan Titiwangsa untuk baki 11 lagi kerusi parlimen di Kuala Lumpur. Inilah hakikat yang sedang kita hadapi di kawasan bandar pada hari ini.
"Kita hanya ada enam tahun sahaja lagi sebelum tahun 2020 untuk negara kita mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju dan pilihan raya umum (PRU) ke-14 pula akan diadakan sebelum itu. Persoalannya apakah kita sudah bersedia untuk merampas kembali kerusi-kerusi parlimen ini pada PRU akan datang?" katanya semasa perbahasan usul pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada hari Khamis.
Jelasnya, sekiranya UMNO dan BN tidak mempunyai strategi dan perancangan masa panjang berhubung isu ini, maka tidak mustahil UMNO dan BN akan kehilangan terus penguasaan di kawasan-kawasan bandar di negara ini.
"Kita bimbang nanti yang akan tinggal nanti hanyalah nama-nama Jalan sahaja seperti Jalan Dato Onn, Jalan Tengku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak, walhal UMNO yang membangunkan kawasan-kawasan bandar ini, malang sekali sekiranya kita gagal menawan hati para pengundinya," jelasnya.
Justeru katanya, UMNO harus melihat isu ini dari perspektif politik yang lebih luas, berlandaskan perubahan demografik, teknologi dan peningkatan tahap pendidikan Melayu di bandar.
"Jangan kita sangka di bandar Kuala Lumpur ini tidak ramai Melayu. Sebanyak 46 peratus populasi di ibukota terdiri dari orang Melayu, sementara populasi orang Cina adalah sebanyak 43 peratus dan 11 peratus lagi terdiri dari bangsa-bangsa lain.
"Masalahnya sekarang hanya 35 peratus sahaja dari 46 peratus orang Melayu di bandar sudah berdaftar sebagai pengundi, berbanding dengan kaum Cina di mana 53 peratus dari mereka sudahpun berdaftar sebagai pengundi," tegasnya.
Zainal turut memohon Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, dapat memastikan agenda perumahan mampu milik di bandar menjadi agenda penting dalam perancangan Rancangan Malaysia ke-11.
"Kalau ini tidak dilakukan dengan serius, maka selama-lamanya kita akan kehilangan kerusi-kerusi parlimen di kawasan-kawasan bandar dalam pilihanraya yang akan datang dan kalau ini terjadi, pastinya lebih sukar buat UMNO untuk mencapai apa saja agenda politik yang tersirat dan tersurat di masa akan datang," jelasnya.