Susulan teguran daripada pihak Istana Selangor kerana hanya mencalonkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor, Parti keadilan Rakyat (PKR) bakal bertindak sewajarnya dalam tempoh 48 jam.

Demikian menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas mesyuarat biro politik PKR itu di ibu pejabatnya di Petaling Jaya pada Khamis seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider.

"Kami akan mengambil langkah-langkah yang perlu dan sesuai. Kami akan bertindak sewajarnya dalam tempoh 48 jam akan datang" katanya.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa PKR telah menerima surat daripada Istana pada Rabu namun enggan menjawab sama ada parti itu akan menghantar lebih daripada dua nama seperti yang diminta Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor sebelum ini telah mengarahkan ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat untuk menghantar lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar bagi menggantikan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.