KOTA BHARU: Pas mengakui Perikatan Nasional (PN) bersetuju menamakan Menteri Besar dari Pas di Perlis dan Pahang sekiranya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri tersebut.

Menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia merupakan perancangan awal pimpinan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

"Itu perancangan awal, kalau sekiranya PN dapat mandat memerintah Perlis dan Pahang, maka dikatakan MB dari Pas.

"Mungkin kerana kedua-dua negeri ditandingi lebih banyak, macam di Pahang ketika PRU14, kita menang lapan kerusi, kita bertanding solo.

"Ada PN, kita yakin akan bertambah, di kedua-dua negeri ini," katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pihaknya bersedia memberikan sokongan penuh kepada Pas untuk menerajui dua negeri berkenaan sekiranya PN berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan di kedua-dua negeri itu.

SEMAK NAMA CALON DALAM PRU15 DI SINI

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut bertanding di DUN Cheka, Pahang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Pahang sekiranya PN berjaya mendapat majoriti di kerusi DUN.

PN meletakkan calon bertanding di semua kerusi DUN di dua negeri berkenaan, dengan calon dari Pas melebihi calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada pilihan raya kali ini.