Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan semua wakil rakyat BN untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab membantu rakyat di kawasan masing-masing tidak mengira masa.

Zambry yang juga menteri besar berkata tugas hakiki seseorang wakil rakyat ialah mencurah keringat untuk kebajikan rakyat.

"Kalau nak jadi wakil rakyat, kena ada dalam fikiran untuk membantu rakyat setiap masa, bukannya niat nak jadi kaya, buang (niat nak jadi kaya) jauh-jauh kerana ia akan merosakkan pembangunan yang telah dirancang (kerajaan)," katanya ketika berucap pada program perjumpaan dengan masyarakat India di Ladang Seri Intan di sini, pada Selasa.

Turut hadir Anggota Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Mah Siew Keong, Penasihat Kepada Menteri Besar, Datuk V.Elango dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr A.T. Kumararajah.

Program tersebut merupakan aktiviti pertama Zambry dalam program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak yang bermula hari ini hingga Sabtu.

Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan penduduk Teluk Intan supaya tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan penduduk Lumut apabila tidak memilih semula calon BN Tan Sri Kong Cho Ha pada pilihan raya umum lalu.

"Dulu saya ingatkan orang Lumut, Tan Sri Kong Cho Ha ketika itu seorang menteri (Menteri Pengangkutan) tetapi mereka tidak mahu dengar, kononnya mahu menukar kerajaan, mereka pilih orang lain.

"Akhirnya sekarang, bila rakyat datang jumpa beliau (Kong) minta tolong, beliau kata beliau tak boleh tolong sebab beliau bukan wakil rakyat lagi. Jadi yang rugi sekarang adalah rakyat," katanya yang berharap rakyat akan terus menyokong wakil rakyat BN pada masa akan datang.

Dalam pada itu, katanya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat India dengan menyediakan pelbagai bantuan.

"Buktinya, sejak diwujudkan tahun 2012, SEED telah membantu lebih 30,000 usahawan India di seluruh negara dengan peruntukan kewangan kira-kira RM1.28 bilion," katanya. -- Bernama