Datuk Mah Siew Keong dan Ramkarpal Singh hari ini mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Kedua-dua ahli Parlimen baru itu mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee.

Mah, yang juga merupakan presiden Gerakan, mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Teluk Intan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 31 Mei lalu.

Beliau menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

PRK Teluk Intan diadakan selepas penyandangnya Seah Leong Peng meninggal dunia akibat kanser.

Manakala, Ramkarpal mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Bukit Gelugor selepas menewaskan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan serta calon-calon bebas, Mohd Nabi Bux Mohd Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

PRK Bukit Gelugor diadakan selepas penyandangnya, Karpal Singh, yang juga merupakan ayah Ramkarpal, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Dewan Rakyat hari ini juga mengucapkan takziah dan memberikan penghormatan kepada Seah dan Karpal dengan senyap seketika.

Dewan Rakyat turut senyap seketika bagi menghormati kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Mesyuarat kedua Parlimen yang bermula hari ini dijadual berakhir pada 19 Jun ini.