BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Seberang Perai yang baharu berkuat kuasa semalam (Rabu), menggantikan Datuk Azhar Arshad yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

Baderul Amin, 58, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dengan dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, barisan EXCO Kerajaan Negeri dan ahli majlis MBSP pada Majlis Mengangkat Sumpah dan Penerimaan Jawatan Datuk Bandar di MBSP Bandar Perda, di sini, semalam.

Baderul Amin yang menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepadanya untuk menjadi Datuk Bandar ketiga beriltizam untuk meneruskan legasi bagi memastikan MBSP bergerak jauh ke hadapan meskipun sedar ia bukanlah satu tugasan yang mudah.

"Saya ingin ketengahkan konsep Back To Basic, di mana kita kembali melihat hakiki tanggungjawab sebuah Pihak berkuasa Tempatan (PBT) dengan memfokuskan kepada tiga apek paling utama iaitu pembersihan, penguatkuasaan dan kewangan.

"Di samping itu juga, saya berhasrat menjadikan MBSP sebagai kawasan yang lebih berdaya saing serta berupaya menarik minat bukan saja para pelancong untuk datang ke sini bahkan juga pelabur dengan menjadikan Seberang Perai sebagai destinasi pilihan pelaburan," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Dilahirkan pada 27 April 1966 di Parit Buntar, Perak, Baderul Amin memulakan perkhidmatannya dengan MBSP (dahulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran Seberang Perai) pada 1991 sebagai seorang jurutera hingga dinaikkan pangkat kepada ketua jurutera.

Pada April 2022, beliau dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar pada Rabu.

Sementara itu, Chow berharap pelantikan Baderul Amin sebagai Datuk Bandar yang baharu dapat menyuntik idea serta misi lebih kreatif, seterusnya mengekalkan pencapaian serta prestasi Seberang Perai dalam pelbagai bidang.

Beliau yakin dengan pengalaman dan pengetahuan Baderul Amin selama 33 tahun dengan MBSP, dapat menggalas tanggungjawab menerajui badan itu sebaik mungkin.

"Seberang Perai merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang amat mencabar kerana ia paling besar di Semenanjung dengan sumber kewangan dan hasil yang terhad.

"Begitu pun, sejak 2008 bersama Kerajaan Negeri, banyak perubahan dapat dilihat dan kini ia menjadi tanggungjawab berat kepada Datuk Bandar baharu dan warga kerja MBSP untuk meneruskan kecemerlangan dalam menyelesaikan masalah rakyat serta membawa perubahan bermakna di kawasan pentadbirannya," katanya. - BERNAMA