KUALA TERENGGANU: Negeri di bawah pentadbiran pembangkang perlu mencontohi langkah kerajaan Terengganu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan Pusat, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar semalam mengenai perkara itu sebagai tepat pada masanya, kerana Hari Kebangsaan seharusnya disambut oleh semua pihak dalam semangat penyatuan tanpa mengira fahaman politik.

Katanya apa juga perbezaan pendapat seharusnya diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dan rakyat tidak wajar dibebankan serta diheret ke dalam kancah politik yang tidak berkesudahan.

"Kita baru melalui Pilihan Raya Umum ke-15 sembilan bulan dahulu, manakala Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri minggu lepas dan akan terpaksa menghadapi pula beberapa pilihan raya kecil disebabkan pemergian dua orang wakil rakyat.

"Kasihanilah rakyat yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang kurang baik dan tidak menentu selepas dua siri pilihan raya yang sengit yang meletihkan minda dan badan mereka," katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan menggunakan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan" dan logo Malaysia Madani yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan, bukannya logo dan tema dicadangkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo dan tema alternatif sempena Hari Kebangsaan serta dilaporkan berkata logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pemimpin PN sempena Hari Kebangsaan, selain mencadangkan ia diperluas ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis.

-- BERNAMA