Masalah yang berlaku dalam UMNO telah memberikan imej buruk kepada cara parti mentadbir kerajaan serta menyimpang jauh daripada cogan kata perjuangan asalnya iaitu "Bersatu Bersetia Berkhidmat".

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata masalah-masalah yang dihadapi UMNO kini tidak mungkin selesai hanya melalui pemecatan, keluar parti, mencela antara satu sama lain dan menunjukkan sifat yang tidak mencerminkan budaya parti itu.

Rafidah berkata, tidak pernah ahli-ahli UMNO disuruh bersatu untuk menentang sesama sendiri, kecuali bersatu untuk memperkukuhkan parti.

“Apa yang berlaku sekarang telah memberi imej buruk kepada cara pentadbiran dalam UMNO dan sudah lari jauh dari cogankata perjuangan UMNO.

“Di mana letaknya usaha untuk bersatu? Apa telah jadi pada bersetia kapada UMNO? Dan apakah yang dilakukan dalam konteks berkhidmat?

“Masalah yang dihadapi sekarang tidak mungkin selesai hanya dengan pemecatan, keluar parti, mencela antara satu dengan lain dan menunjukkan sifat-sifat yang tidak mencerminkan budaya UMNO yang sewajarnya.

“Mengapa parti yang telah sekian lama menaungi bangsa dan rakyat dijadikan mangsa kapada kegagalan individu,” kata Rafidah seperti dipetik dalam posting terbaru di akaun Facebooknya.

MENGAPA DIBIAR KELAMBU TERJEJAS DAN TERBAKAR...ELAKKAN RETAK MENCARI BELAH...Peristiwa2 yang terus berlaku dalam...

Posted by Rafidah Aziz Malaysian Citizen on Monday, February 29, 2016

Malah katanya, ahli-ahli UMNO tidak pernah disuruh bersetia kapada mana-mana individu atau berkhidmat untuk kepentingan sesiapa juga tetapi hanya kepentingan parti demi membangunkan negara.

Sebaliknya, parti perlu mencari jalan pendamaian, penyatuan dan perbincangan dengan fikiran terbuka.

Ini kerana, katanya lagi, kesilapan boleh diperbaik dan diperbetul jika hendak mengembalikan keyakinan bangsa dan rakyat.

Dalam posting itu juga, bekas Menteri Kabinet ini turut menyuarakan kebimbangan sekiranya apa yang terjadi dalam UMNO ketika ini bakal menyemai serta membentuk satu budaya dalam UMNO kepada pewaris-pewaris parti.

Pada Isnin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penarikan diri daripada parti UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Ahli politik veteran itu berkata keputusan itu dibuat berikutan parti di bawah kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak itu tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu.

BACA: Tindakan pecat pemimpin UMNO tidak bijak - Abdul Rahman

Jumaat lalu, jawatan Timbalan Presiden UMNO yang dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung serta-merta sehingga pemilihan parti akan datang.

BACA: Pecat Muhyiddin bukan satu penyelesaian - Noor Azleen

Pada November tahun lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Ketua Wanita UMNO Gopeng, Datuk Hamidah Osman dipecat atas pelanggaran disiplin parti.

BACA: Tindakan pecat Hamidah bercanggah dengan semangat Perlembagaan UMNO - Muhyiddin