KUALA LUMPUR: Pembentukan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk mencari strategi mengurangkan karenah birokrasi dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata proses birokrasi hanya akan menyusahkan rakyat yang memerlukan bantuan dengan segera.

"Ini adalah satu keadaan yang tidak pernah berlaku dan disebabkan itu juga, tindakan dan mekanisma yang dirancang mestilah berbeza daripada cara yang normal.

‘’Dengan ini proses menyampaikan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan akan lebih tersusun.
Jadi penting untuk merancang dan mencari jalan untuk mempermudahkan bantuan dan pinjaman yang boleh mengembalikan rakyat yang terjejas,’’ katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Sabtu.

Selain itu, Azizah juga menggesa semua Ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang untuk berlapang dada dan menyokong segala dasar kerajaan.

Ini kerana kerjasama rentas parti adalah elemen penting dalam usaha membantu kesejahteraan dan kebajikan rakyat.


PM ke-9 | Membina Malaysia di bawah pentadbiran baharu - Datuk Azizah Mohd Dun

‘’Saya rasa kita (ahli parlimen) perlu menjadi lebih matang kerana setakat ini kalau bercakap soal kerjasama bipartisan masih belum tercapai di negara ini.

‘’Ini kerana bila (ahli parlimen) bercakap, mereka tidak pun berbincang tentang bagaimana kita boleh bersama-sama memastikan segala usaha kerajaan untuk memastikan rakyat kita selamat dan sejahtera dijayakan sekali gus memulihkan ekonomi,’’ tambahnya.

BACA: Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, pada Sabtu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.