Susulan krisis politik yang melanda negeri Kedah, 20 daripada 21 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Media yang dilarang akses ke majlis itu dimaklumkan, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak hadir pada majlis tersebut seperti yang disahkan oleh beliau semalam.

Menurut sumber, majlis menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah itu diadakan susulan kenyataan Mukhriz sebelum ini yang memaklumkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah murka apabila enam anggota Exco kerajaan negeri Kedah tidak hadir ke mesyuarat Exco pada 27 Januari lalu.

Sebelum itu, kenderaan yang membawa anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Wisma Darul Aman pada pukul 2.40 petang, diikuti seorang lagi anggota jemaah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah kira-kira 15 minit kemudian.

Pengerusi jemaah itu Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah tiba pada pukul 3 petang.

Krisis politik di Kedah tercetus berikutan ADUN dan anggota Parlimen UMNO Kedah, dan pimpinan kanan UMNO negeri, yang diketuai timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada UMNO dan dua dari MCA, telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.

Hanya ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar yang tidak berbuat demikian.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan isu pertukaran Menteri Besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Tunku Abdul Hamid yang juga Tunku Laksamana Kedah dan Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah.

Najib dalam sidang media pada hari yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.