UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai konsep perkongsian kuasa kerana cara itu lebih realistik dalam trend poilitik bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata UMNO dan BN sentiasa menghargai sumbangan rakan-rakan komponennya tidak kira parti komponen berkenaan besar atau kecil kerana setiap parti itu ada kekutannya tersendiri.

"Trend politik sekarang di seluruh dunia biasanya memerlukan (gabungan) banyak parti untuk membentuk satu-satu kerajaan. Saya tidak kata teori ini sentiasa benar tetapi biasanya parti-parti politik kecil atau besar perlu bergabung untuk membentuk kerajaan.

"Agak sukar untuk satu parti politik untuk memperoleh sokongan majoriti pengundi atau memperoleh dua pertiga daripada sokongan pengundi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi meraikan 20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, Tawau pada Jumaat.

Tiket penerbangan anak-anak yatim dari Tawau ke Kota Kinabalu berkenaan ditaja oleh syarikat penerbangan MASwings melalui program Penerbangan Prihatin Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)-MASwings 2017.

Mengenai kecelaruan di kalangan parti-parti pembangkang di Sabah, Yahya berkata itu hal dalaman mereka dan BN lebih berminat memastikan kerjasama di kalangan parti-parti komponennya sentiasa kukuh.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan kecelaruan dan perpecahan di kalangan parti-parti pembangkang itu memberi kelebihan kepada BN.

-- BERNAMA