Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah menangis teresak-esak selepas diarahkan keluar oleh Speaker Dewan.

ADUN Paloh itu diarahkan keluar oleh Speaker, Datuk Abdullah Yaakob selepas beliau meminta mencelah sewaktu sesi penggulungan di Sidang DUN Kelantan.

Abdullah mengeluarkan arahan tersebut selepas ketua pembangkang itu dianggap melanggar peraturan dewan kerana mengganggu sesi penggulungan oleh pihak kerajaan negeri walaupun telah diberi amaran beberapa kali.


Arahan itu menyebabkan Nozula sebak dan mengalirkan air mata kerana mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan kali ini.

Sebagai tanda sokongan dan protes terhadap tindakan ke atas Nozula, empat lagi wakil BN iaitu Datuk Ramzi Ab. Rahman (Dabong), Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Ab. Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) yang menghadiri persidangan turut meninggalkan dewan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar dewan, Nozula yang masih sebak secara ringkas berkata, beliau sedih kerana hak sebagai ketua pembangkang untuk berucap mewakili rakyat dinafikan sepenuhnya oleh Speaker DUN

“Saya dukacita, dengan perbuatan Datuk Speaker. Sepatutnya bagi peluang kepada saya untuk kepentingan rakyat. Mereka menolak, saya tidak rela,” lusah Nozula.

Sementara itu, ADUN Dabong, Datuk Ramzi Abdul Rahman menyifatkan tindakan Speaker itu keterlaluan yang tidak pernah berlaku di mana-mana Dewan Undangan Negeri.

“Kami dari BN ambil keputusan bersama untuk tidak hadiri sesi kerana membantah tindakan itu. Saya rasa tak adil, (memandangkan) masa masih banyak,” kata beliau.

Terdahulu, Nozula berkali-kali memohon diberi ruang untuk berucap pendek ketika Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Dr. Ramli Mamat mahu memulakan sesi penggulungan.

Bagaimanapun, permintaan beliau ditolak Abdullah dengan alasan kesemua wakil rakyat termasuk dari BN dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah diberi peluang secukupnya dalam sesi perbahasan semalam.