GOMBAK: Bukan calang-calang kerusi, dan bukan calang-calang debar pertembungan!

Kehadiran tiga 'gergasi' dalam merebut Parlimen P098 Gombak disifatkan secara automatik menjadikan persaingan lima penjuru di situ masuk ke dalam daftar kerusi tumpuan kali ini.

Apatah lagi tanda pagar #Gombak sempat memasuki senarai atas trending topic di media sosial terutamanya Twitter beberapa hari lalu.

Penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional (PN)-Bersatu yang juga Pengarah Pilihan Raya PN, nyata tidak akan mengambil mudah cabaran dihadapi.

Pada pengumuman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu pada hari penamaan calon 5 November lalu, Azmin berdepan cabaran sengit daripada Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari (PH-PKR); dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO).

Dua calon lagi yang turut menguji pengaruh di gelanggang adalah calon daripada Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Perkasa-GTA); serta calon Bebas, Zulkifli Ahmad.



Apakah misi dan visi mereka untuk meraih kepercayaan 206,744 pengundi berdaftar (menurut statistik di laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya) pada 11 hari ke depan nanti, dan apakah isu rakyat yang perlu mereka santuni? Yang penting, bagaimana setiap calon melaksanakan tanggungjawab dan hala tuju serta pengisian kempen bakal menentukan pemenangnya.

Berikut adalah corak undian pada PRU14 lalu, untuk rujukan:


Memulakan sesi siaran langsung dari lokasi sejak jam 5 petang tadi, dari Medan Selera Taman Greenwood, Gombak, penyampai Shafizan Johari telahpun membuka tirai dengan kupasan keinginan rakyat. Antara yang menarik adalah diskusi bersama tetamunya, aktivis alam sekitar, Amlir Ayat. 



Perincian liputan berlanjutan ke sebelah malam ini, dengan laporan penuh dan komprehensif bersama penyampai acara dan wartawan lokasi yang bersiaran secara langsung.

Jangan lupa menyaksikan AWANI745 akan diterajui Luqman Hariz, bersama tumpuan kehangatan kempen politik menjelang tarikh besar 19 November, selain beliau turut membawakan kompilasi terbaik berita dari seluruh negara sepanjang hari ini.

Siaran langsung akan diteruskan pada jam 8.30 malam membawakan aspirasi Malaysia Memilih dalam Agenda AWANI bersama Essan Yahya, Dzulfitri Yusop dan Nazri Kahar, bersama bakal calon-calon P98 Gombak.

Antara tumpuan pastinya tentang jaminan hak rakyat, isu setempat, keluh-kesah dan aspirasi yang penduduk Gombak. Para pengundi Gombak khususnya, tentu mengharapkan pencerahan serta tindakan wajar daripada calon-calon yang bakal mereka berikan kepercayaan serta undi.



Perkembangan berkaitan diteruskan dalam AWANI Tonight yang diacarakan Siti Farhana Sheikh Yahya pada pukul 12 tengah malam. Siti Farhana memacu topik perbincangan bersama saintis politik daripada University Sunway, Prof. Wong Chin Huat.

Teruskan bersama Astro AWANI, saluran pilihan raya ke 15 dan layari laman sesawang www.astroawani.com.my untuk informasi sahih dan terkini.