Pilihan raya ini perlu diadakan susulan pembatalan kemenangan penyandangnya oleh mahkamah.
Bagi Pas yang memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PRK Kemaman ini menjadi kesinambungan kemenangan sedia ada.
Pada masa sama, Pakatan Harapan (PH) Terengganu dan UMNO turut mengintai peluang untuk bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Sememangnya, kerajaan dan pembangkang mempunyai peranan dan tugas masing-masing dalam memenuhi kehendak dan mandat rakyat.
Tugas utama pembangkang adalah untuk mempersoalkan dasar dan tindakan kerajaan terhadap sebarang pendekatan dalam pentadbiran kerajaan.
Di sinilah pembangkang boleh menawarkan alternatif dan memberikan cadangan dalam memperkenalkan sesuatu dasar atau tindakan kerajaan.
Peranan semak dan imbang ini, sekiranya dijalankan dengan penuh tanggungjawab, akan memberikan manfaat kepada rakyat terbanyak.
Ia juga dapat dapat menzahirkan suara dan keinginan rakyat selain memperlihatkan kematangan berpolitik tanpa mengira kepentingan peribadi.
Ini kerana sesuatu dasar dan polisi amat penting dalam membina kerangka negara maju. Sebarang kesilapan boleh menyebabkan negara kita semakin ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Sebagai contoh, polisi-polisi kerajaan yang tidak konsisten semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dilihat separa masak dan berubah-ubah. Ia amat mengelirukan dan menyusahkan rakyat di bawah.
Polisi sedemikian jelas menunjukkan tahap koordinasi dan perancangan yang lemah kerajaan pada masa itu.
Setelah berakhirnya era pandemik COVID-19, negara terus ditimpa masalah yang memerlukan penyelesaian segera serta jangka masa panjang.
Antara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan ialah krisis bekalan tenaga, jenayah siber, PATI, warga asing dan banyak lagi masalah rakyat yang perlu ditangani dengan segera.
Tanpa pembangkang yang konstruktif, kerajaan boleh lalai dan terus dibuai mimpi.
Keadaan menjadi lebih kritikal apabila pihak kerajaan hanya gigih membentangkan dasar-dasar yang melangit tetapi meminggirkan rakyat bawahan sehingga mengikis keyakinan rakyat.
Ini ditambah dengan mutu perbahasan dan semak dan imbang yang tidak membantu kerajaan.
Malahan lebih parah, pembangkang hanya mahu berlagak menjadi jaguh, tetapi tidak melakukan homework dan hanya berkisar dalam hal-hal hal yang remeh-temeh sahaja.
Ketiadaan pembangkang ini pastinya memberi kelesuan terutama apabila melibatkan pelaksanaan dasar. Usul yang ditetapkan boleh menjadi sebuah slogan, tanpa tindakan yang rasional.
Seterusnya rakyat mula melihat sesebuah kerajaan itu sebagai kerajaan yang gagal dan mengabaikan kebajikan mereka.
Sidang Parlimen merupakan platform yang terbaik untuk membincangkan dan mendapatkan pandangan daripada seluruh ahli dewan yang telah dipilih oleh rakyat sebagai wakil dan suara mereka, bukannya bercakap bagi pihak parti yang yang diwakili.
Di Parlimen kepentingan rakyat sepatutnya dijadikan agenda yang didahulukan.
Di sini, kerajaan dan pembangkang perlu mengetepikan ideologi dan ego mereka. Kedua pihak perlu menggembleng tenaga jika ingin menyelamatkan dan meletakkan negara di landasan yang betul.
Dengan adanya kerajaan dan pembangkang, ia dapat menghentikan musuh–musuh luar negara daripada mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan negara.
Kestabilan politik dalam sesebuah kerajaan amat penting bagi menarik lebih ramai pelabur serta melancarkan projek-projek pembangunan dan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.
Dalam erti kata lain, kerajaan dan pembangkang perlu mempunyai hubungan yang konstruktif demi membentuk demokrasi yang lebih matang dalam negara.
Kerajaan perlu memainkan peranan mereka sebagai kerajaan yang berfungsi, pembangkang pula berfungsi dalam semak dan imbang atau check and balance.
Ia akan menjadi satu bentuk reformasi institusi Parlimen yang positif untuk kesan jangka masa panjang.
Saya teringat kata-kata guru saya semasa mengikuti kuliah sains politik dahulu: “Kerajaan akan menjadi kuat sekiranya ada pembangkang yang kuat”.
Bagi rakyat Kemaman, buatlah keputusan yang bijak. Selamat mengundi!
Muhamad Khairul Zakaria dan Abdul Mutalib Embong adalah pensyarah dari English Learning Centre (ELC), Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.