KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengharapkan agar tiada Ahli Parlimen bertindak melompat parti apabila kerajaan baharu ditubuhkan kelak.

Jelasnya, meskipun perkara itu tidak boleh dijamin, namun setiap Ahli Parlimen perlu akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong serta menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Saya kira mandat telah diberikan oleh rakyat pada PRU14, ini sesuatu yang perlu kita hormati. Tetapi, kita sedia maklum, belum lagi dapat meluluskan satu undang-undang yang menghalang seorang Yang Berhormat itu melompat. 

"Oleh kerana itu boleh berlaku, kerajaan boleh tumbang seperti mana berlaku tahun lepas. Kali ini, apa yang kita cuba lakukan adalah mengembalikan mandat, memulihkan keadaan dan menstabilkan politik.
BACA SEMUA POLEMIK POLITIK NEGARA DI SINI


"Kalau boleh kita mahu kekalkan sokongan yang ada. Katalah kita ada majoriti mudah, biarlah kekal sampai PRU15 nanti," jelasnya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI Khas, di sini pada Selasa.

Tndakan melompat parti, kata Mukhriz, hanya akan merugikan negara dan rakyat.

"Janganlah ada pihak yang menggugut untuk melompat bila tidak dapat apa yang dia hendak, kerana itu sekali lagi mencetuskan ketidakstabilan politik dan mengalihkan perhatian Kerajaan daripada perkara jauh lebih penting, iaitu menangani krisis kesihatan yang kita hadapi ini.

"Itu satu perkara yang tidak boleh kita jamin, kalau kita akur titah Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi. Kita mestilah berkompromi, berkorban, jangan terlampau sangat rigid di dalam pendirian kita," ujarnya lagi.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 15 ahli UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.