Sepuluh janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kebanyakannya berjaya direalisasikan dengan kerjasama semua pihak, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Tanpa memperincikan jumlah janji dipenuhi, beliau berkata terdapat janji yang sedang dalam proses pelaksanaan serta ada juga janji yang kerajaan negeri memerlukan tempoh masa lama untuk dilaksanakan memandangkan berhadapan dengan kekangan maklumat tertentu yang tidak mencukupi.

"Antara janji yang dapat dilaksanakan adalah seperti (pelaksanaan) khairat kematian yang akan dilancarkan bulan depan termasuk Tabung Khas Wanita manakala tabung pesakit kronik dan mahkamah syariah bergerak telah pun dilancarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata kerajaan negeri tetap akan berusaha mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah rakyat berkaitan janji yang masih belum dapat ditunaikan dalam tempoh 100 hari itu.

"Secara umum saya berasa berpuas hati apa yang telah berjaya dilakukan kerajaan negeri dengan bantuan semua pihak kerana apa dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan PRU14 bagi negeri Kedah ini, telah disahkan sebagai janji kerajaan negeri daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

"Sejak itu seluruh jentera kerajaan negeri telah berusaha untuk menjayakan setiap satu daripada janji-janji tersebut...ada perkara sewaktu buat manifesto ini, ada maklumat tertentu tidak ada dalam akses kami, bila kami jadi kerajaan baru tahu maklumat itu."

Ditanya mengenai janji yang sukar dipenuhi, Mukhriz berkata janji itu adalah usaha mengatasi masalah gangguan bekalan air kerana ia memerlukan dana mencukupi untuk penambahbaikan prasarana berkaitan.

Namun, beliau berkata isu air di negeri ini ada yang dapat diselesaikan segera serta memerlukan jangka masa panjang dengan masalah seperti tekanan air rendah dan pam rosak boleh diatasi dalam masa singkat bagi menangani aduan rakyat di kawasan tertentu.

"...untuk jangka masa panjangnya tentulah kita memerlukan ehsan daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri akhirnya harus buat keputusan adakah soal infrastruktur air kita ini perlu kita berhijrah ke PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad) di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Jadi yang ini memang dibincangkan sejak dua penggal sebelum ini lagi, jadi masih belum tahap keputusan adakah kita nak buat sama ada kita nak buat penghijrahan separuh atau penghijrahan penuh, semua ini sedang dibincangkan secara dalaman," katanya.

Mengenai terdapat dakwaan mengatakan kerajaan negeri gagal menunaikan janji untuk menilai semua penglibatan anggota politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), beliau berkata beliau dilantik menjadi presiden persatuan itu atas kehendak anggota gabungan KFA berikutan tiada nama lain dicalonkan.

"Bila tiada pertandingan, maka saya menang tanpa bertanding," katanya.

Sepuluh janji itu ialah mengatasi masalah gangguan bekalan air; menyediakan sumbangan khairat kematian untuk semua kaum dan agama dalam tempoh 24 jam; menilai semua penglibatan anggota politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA); menubuhkan tabung penyakit kronik dan pusat dialisis.

Selain itu, menubuhkan Tabung Khas Wanita; merangka satu keluarga satu rumah; membuka 'Bandar Belia'; menggalakkan pertanian domestik; memperkenalkan mahkamah syariah secara bergerak serta menubuhkan pasukan petugas untuk menyelesaikan masalah tanah.

Persidangan DUN ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. -- Bernama