KUALA LUMPUR: Usaha mewujudkan kerajaan dari parti yang berbeza ideologi politik bukanlah dibuat selepas mendapat keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dedah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Menteri Dalam Negeri itu berkata, kesemua parti yang berkaitan sudah lama membaca perubahan landskap politik negara, yang tidak memungkinkan mana-mana parti atau gabungan dapat membentuk kerajaan sendiri.

Sebahagian antara watak utama dalam rundingan itu, Saifuddin berkata, ialah beliau dan beberapa lagi pemimpin telah diberi mandat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdasarkan pandangan jauh Pengerusi PH itu yang mahu melihat politik inklusif.

“Semua parti @ gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar yang ikut mendukung pendekatan ini.

“Pendekatan politik inklusif, (iaitu) meramaikan kawan dan mengurangkan musuh. Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam Parti Keadilan Rakyat,” katanya lagi.


Saifuddin berkata, rangkaian berteraskan ‘percaya dan hormat’ itu, bermula dari dalam PH sendiri, yang mengamalkan hubungan sesama pimpinan yang cukup akrab.

Seterusnya beliau berkata, hubungan peribadi sekian lama beliau dengan pimpinan Barisan Nasional seperti Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, memudahkan rundingan itu dijalankan.

Jelasnya lagi, ini termasuk dengan sikap terbuka pemimpin dari Sabah dan Sarawak, yang sama-sama mendukung ketentuan itu.

“Sejurus keputusan PRU15 memaparkan tiada parti yg memperolehi majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti-parti lain. Menjadi pembangkang bukannya satu pilihan. PH mesti menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar diletak sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dari situ saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti-parti bukan PH yang telah memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta. Ternyata langkah yang diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala idea kerajaan perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Dalam pada itu Saifuddin merumuskan, semua pihak harus mengambil pendekatan politik terbuka, menghormati kawan dan lawan, serta sentiasa bersifat sabar, kerana politik itu katanya adalah satu ‘marathon’.