Datuk Anbumani Balan menjelaskan, langkah itu bagi memastikan elemen perpaduan itu dilaksanakan dalam Kerajaan yang merangkumi pelbagai parti politik.
"Saya nampak apabila wujud Kerajaan Perpaduan ini, maka perpaduan itu ialah perpaduan politik, dan kerjasama politik antara satu sama lain.
"Nampaknya, setiap parti sudah memberikan nama kepada Perdana Menteri PM dan kuasa mutlak adalah dalam tangan Perdana Menteri dan bagi saya apabila kita membincangkan jawatan Timbalan Menteri ini, aspek komposisi kaum, etnik perlu diberikan secara adil dan saksama untuk setiap parti.
"Ini termasuklah apabila jawatan Timbalan Menteri ini diberikan kepada setiap etnik, kaum Melayu Cina India. Kepelbagaian kaum ini perlu diperlihatkan dalam Kabinet ini dalam jawatan ini. Jadi kredibiliti calon dan perwatakan setiap personaliti ini dilantik akan menjadi harapan kepada masyarakat di luar sana," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
BACA: Calon timbalan menteri dimuktamadkan dalam masa terdekat - Anwar
Dalam pada itu, Anbumani juga melihat keperluan mewujudkan dua Timbalan Menteri dalam kementerian-kementerian penting terutama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan.
Ujarnya, langkah itu bagi memastikan menteri yang bertanggungjawab dapat melaksanakan tugas dengan baik dan terancang.
"Ada kementerian ini yang ada banyak agensi di bawahnya, jadi sudah tentu menteri dan timbalannya tidak dapat melaksanakan tugas dengan terus dan terancang.
"Justeru perlu ada dua Timbalan Menteri di Kementerian seperti di Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan atau Kementerian Alam Sekitar.
"Inilah yang perlu dilihat dengan terbuka kerana tugas mereka banyak dan kita tidak mahu wujud masalah. Jadi diharap perkara ini dipertimbangkan sebab ada keperluan dan keinginan masyarakat," ujarnya.