BUKIT MERTAJAM: Jentera Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan dilancarkan malam ini.


Ringkasan AI
  • Jentera Kerajaan Perpaduan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap akan dilancarkan malam ini, dengan keyakinan untuk merampas semula kerusi tersebut.
  • Persiapan awal telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan termasuk mesyuarat pada 25 Mei dan 3 Jun untuk membentuk jawatankuasa dan strategi.
  • PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Latiff, dengan hari mengundi ditetapkan pada 6 Julai dan penamaan calon pada 22 Jun.


Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata beliau yakin Kerajaan Perpaduan mampu merampas semula kerusi Sungai Bakap yang pernah dikuasai Pakatan Harapan (PH) (sebelum ini Pakatan Rakyat) selama tiga penggal sejak 2008.

Beliau berkata komitmen dan semangat perpaduan jitu mula dipamerkan oleh jentera gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan.

Mohamad berkata persiapan awal telah dibuat Kerajaan Perpaduan bermula dengan mesyuarat pada 25 Mei lepas bagi membentuk jawatankuasa berkaitan diikuti satu mesyuarat pada 3 Jun lepas yang dihadiri oleh semua pimpinan dalam gabungan Pakatan Harapan yang dipengerusikan Pengerusi PH Negeri Chow Kon Yeow.

"Malam ini kita akan adakan majlis pelancaran jentera pilihan raya Perpaduan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang akan dihadiri semua pimpinan utama negeri serta pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Bola Sepak dan Kenduri Kesyukuran untuk Faisal Halim di Mengkuang Titi, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA