Akta Hasutan tidak sepatutnya digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menyekat individu atau pihak tertentu daripada bersuara, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau yang Ketua Pemuda PAS itu berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir wajar diberi kebebasan untuk terus menyuarakan pendapatnya.

"Kami pihak pembangkang sejak dahulu lagi tidak berpuas hati dengan akta ini, malah ramai juga rakyat yang mempertikaikannya.

"Walaupun PAS tidak menyokong Deklarasi Rakyat yang dipimpinnya (Dr Mahathir), ia tidak bermakna kami menyokong ruang untuk mengkritik kerajaan itu ditutup," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Selasa yang menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan ke atas Dr Mahathir itu atas tindakannya yang berterusan mendesak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Menurut Nur Jazlan, kenyataan yang dibuat Dr Mahathir terutamanya dalam perhimpunan Kongres Rakyat di Shah Alam pada Ahad iaitu akan bertindak 'di luar jangkaan' boleh dianggap sebagai menghasut.

Katanya, walaupun negara mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun, namun jika didapati perhimpunan yang diadakan berniat menimbulkan huru-hara atau menjatuhkan mana-mana pemimpin, maka polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.