KUALA LUMPUR: Isu kos sara hidup tinggi yang membelenggu rakyat di negara ini antara faktor yang perlu dibimbangi Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Penganalisis Politik Dr Mazlan Ali memaklumkan meskipun pelbagai insentif dijalankan sepanjang pemerintahan enam bulan Kerajaan Perpaduan, isu itu perlu dilihat secara serius bagi mengekalkan pentadbiran sedia ada.

“Kita lihat bantuan kepada rakyat termasuk petani dan nelayan nampak sangat komprehensif. Saya tidak fikir rakyat berasakan Kerajaan Perpaduan tidak memberi layanan atau membela mereka sewajarnya.

“Akan tetapi satu perkara yang perlu dibimbangi bakal dihadapi Kerajaan Perpaduan malah di Selangor ketika ini adalah kemungkinan isu yang dibangkitkan dalam PRN termasuk isu yang ada hubungan dengan kaum dan agama,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, beliau berharap isu yang dibangkitkan perlu wajar dengan situasi semasa sepanjang  tempoh kempen kelak.

Tambah beliau, penyokong Pakatan Harapan (PH) juga tiada pilihan melainkan untuk meneruskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana sebahagian besar daripada penyokong PH terdiri daripada bukan Melayu termasuk kaum Melayu.

“Mereka adalah pengundi strategik yang mana mereka tahu asas sokongan yang mereka beri adalah parti yang mereka yakini.

“Situasi sudah berubah, akan ada pembolehubah politik yang mungkin kita lihat faktor menarik dan menolak dalam PRN kali ini," katanya.