PAS dilihat tidak perlu bermain tarik tali dengan DAP bersabit hukum hudud dan sewajarnya harus segera mengambil langkah berani meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, sejak usul hukum hudud diluluskan, DAP menyerang PAS habis-habisan tetapi malangnya PAS dilihat seperti teragak-agak untuk bertindak balas.

"DAP secara terbuka menyifatkan PAS sebagai pengkhianat kepada permuafakatan PR kerana meluluskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

"Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang hanya menzahirkan rasa kesal dan marah dengan tuduhan tersebut, tetapi masih juga teragak-agak untuk berpisah dengan DAP," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blognya http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Jelasnya lagi, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Abdullah juga menguatkan bukti bahawa PAS 'boleh hidup' tanpa PKR dan DAP.

"Berdasarkan itu, saya minta PAS jangan main tarik talik dengan DAP, jangan nanti rakyat khususnya umat Islam akan tuduh parti itu sekadar bersandiwara," tegasnya.

Katanya, PAS perlu membuktikan bahawa mereka tidak takut kepada ancaman DAP dan PKR.

"PAS tidak perlu berasa gusar kerana orang Melayu khususnya UMNO akan menyokong pelaksanaan hukum hudud.

"Kita (UMNO) telah buktikan di DUN Kelantan baru-baru ini, semua wakil rakyat BN menyokong usul yang dibawa oleh PAS," ujarnya.

Oleh sebab itu katanya, PAS tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan meninggalkan PR jika benar PAS berjuang di jalan Allah.

"UMNO telah membuktikan bahawa dalam soal syariat Islam, parti itu telah memberikan sokongan kepada PAS menjayakan hukum hudud tanpa mengambil kira sentimen politik," katanya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan menjelaskan, isu perbalahan PAS dengan sekutunya, PKR dan DAP sudah berlarutan sekian lama bersabit cadangan pelaksanaan hukum hudud.

Malah katanya, DAP secara terbuka telah menyatakan penentangannya terhadap PAS jika cuba menguatkuasakan undang-undang berdasarkan syariat Islam.

"PAS sepatutnya lebih bermaruah menyahut serangan DAP dengan mengambil tindakan berani meninggalkan PR," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali tidak menafikan sokongan UMNO terhadap PAS dalam soal hudud boleh dijadikan perintis ke arah kerjasama politik yang lebih menyeluruh.

Katanya, walaupun mungkin terlalu awal untuk membentuk kerjasama antara PAS-UMNO tetapi usaha sedemikian boleh dilakukan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

"Saya pernah tegaskan sebelum ini, PAS-UMNO sepatutnya sudah boleh menjalinkan kerjasama berdasarkan kepada senario politik masa kini," ujarnya.