Pemuda Gerakan menyambut baik kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang bertekad tidak akan lagi mengundi Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan masih mahu mansuhkan Akta Hasutan.

"Kami tiada masalah jika Perkasa hendak menyokong Pakatan Rakyat secepat mungkin," kata Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang semalam (Sabtu).

Menurut Tan, Pemuda Gerakan menyokong penuh cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan akta berkenaan kerana katanya ia satu tindakan progresif.

Beliau juga mengharapkan agar Ibrahim Ali terus pegang kepada janjinya itu selepas akta tersebut dimansuhkan nanti.


Ibrahim Ali, dalam satu kenyataan pada Sabtu mengumumkan akan berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang sekiranya Putrajaya masih kekal dengan pendirian memansuhkan Akta Hasutan itu.

Beliau memberitahu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tersebut kerana pendirian tersebut disifatkannya sama seperti parti pembangkang.

Semalam, Najib mengulangi pendirian pentadbirannya mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, lapor Bernama.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri perkara berkaitan agama dan bangsa tidak akan diabaikan dalam akta baru itu nanti.

Ini kerana kerajaan tidak akan membenarkan kebebasan tanpa tanggungjawab terutama dalam soal agama yang dianuti oleh semua rakyat, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan raja-raja Melayu.