Kempen #undirosak tidak pernah berlaku sebelum ini dan menunjukkan blok pembangkang kini berada dalam keadaan sangat terdesak.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, jika blok pembangkang yakin kuat dan mampu menumbangkan kerajaan BN, mereka tidak perlu melancarkan kempen tersebut.

"Ia jelas bertentangan dengan syariat Islam. Cubaan mempengaruhi pengundi supaya tidak keluar mengundi atau melakukan kerosakan kepada kertas undi merupakan perbuatan khianat terhadap proses pilihanraya.

"Hanya mereka yang tidak bertamadun sahaja yang tergamak melakukan perbuatan seperti itu, golongan ini sanggup menghalalkan cara untuk meraih kuasa," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Kempen undi rosak haram - Mufti Wilayah Persekutuan

BACA:
Kempen undi rosak tidak menguntungkan sesiapa - Sivarraajh

Sebelum ini, Syed Ali pernah mengecam perbuatan pihak tertentu terutama pembangkang yang menularkan kempen #undirosak dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 akan datang.

Pada Rabu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, umat Islam perlu sedar bahawa haram hukumnya jika seseorang itu merosakkan undi pada mana-mana pilihan raya umum (PRU).

Selain itu katanya, tindakan umat Islam yang tidak mendaftar sebagai pengundi dan tidak keluar mengundi, juga hukumnya haram.

Mengulas lanjut, Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras turut meminta rakyat negara ini terutama umat Islam yang layak mengundi supaya tidak terpengaruh dengan gerakan pihak tertentu melancarkan kempen#UndiRosak atau #SpoiltVote.

"Saya bersetuju dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan itu kerana mengundi adalah satu tanggungjawab perlu dilakukan dalam proses memilih sesebuah kerajaan yang dibenarkan menerusi amalan demokrasi.

"Pandangan Dr Zulkifli selaku seorang mufti sewajarnya diberikan perhatian serius oleh pemimpin politik terutama daripada blok pembangkang kerana hujah tersebut bersandarkan syariat Islam.

"Pembangkang terutama dari kalangan pemimpin Melayu sepatutnya menerima nasihat mufti tersebut dengan penuh rasa insaf dan sewajarnya mereka berpolitik secara berhemah dan lebih bermoral," tegasnya.