Datuk Seri Abdul Hadi Awang layak untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya selepas mendapat pencalonan kedua dari PAS Kuala Kedah.

PAS Kuala Kedah juga mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden. Ini merupakan pencalonan pertama untuk Tuan Ibrahim bagi jawatan timbalan presiden.

Manakala Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Idris Ahmad dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, bekas pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang mendapat pencalonan pertama untuk bertanding jawatan presiden dari PAS Parit Sulung.

Ahmad dipilih sebagai calon presiden melalui mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) PAS kawasan Parit Sulong yang pertama, selepas mendapat mandat daripada mesyuarat agung mereka.

PAS Parit Sulong juga mengekalkan pencalonan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim dan Husam sebagai naib-naib presiden.

Sehingga kini hanya Abdul Hadi dan Husam layak untuk bertanding jawatan presiden PAS selepas mendapat dua pencalonan.

Abdul Hadi sebelum ini mendapat pencalonan dari PAS Shah Alam, manakala Husam mendapat pencalonan dari PAS Kota Tinggi dan Batu Sapi.

Bagi jawatan timbalan presiden, Mohamad Sabu layak untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya selepas mendapat pencalonan dari PAS Shah Alam, Parit Sulong dan Batu Sapi.

Fasal 25 (2) Perlembagaan PAS, menyatakan jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden hendaklah dipilih dan dilantik pada muktamar tahunan PAS setiap dua tahun.