KOTA KINABALU: Kesepakatan antara parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terutama isu pembahagian kerusi Parlimen memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ronald Kiandee berkata apa sahaja cadangan jumlah kerusi ingin ditandingi yang dikemukakan ketika ini oleh parti komponen GRS hanyalah daripada perspektif parti itu sahaja.

"Ia harus dilihat dalam perbincangan gabungan parti (dalam GRS)... ia merupakan perkara penting yang harus dipertimbang oleh gabungan parti untuk menghadapi PRU15," katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, mengadakan pertemuan dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Baru-baru ini, Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata BN menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 daripada 25 kerusi Parlimen negeri itu pada PRU15.

Jeffrey, yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Timbalan Pengerusi GRS, pula berkata setiap parti mempunyai hak untuk meletakkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi pada PRU15, bagaimanapun perkara itu harus dibincangkan bersama bagi mencari persefahaman.

GRS dianggotai Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP dan PAS), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

-- BERNAMA