Sempena genap dua tahun beliau dilantik memegang jawatan itu dan juga sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid menerusi hantaran Facebook beliau hari ini berkata, sepanjang tempoh itu pelbagai cabaran dilalui dan banyak kejayaan dikecapi bersama.
Antaranya memperkenal sistem UP_TVET sebagai saluran tunggal permohonan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET kepada 94.5 peratus.
Selain itu mencapai kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 7.9 peratus dengan jumlah eksport produk halal RM53.72 bilion, dan memacu kumpulan RISDA Holdings dengan mencatatkan prestasi kewangan RM37 juta dengan unjuran prestasi RM70 juta hujung bulan ini.
"Semua ini dilaksanakan dengan satu matlamat utama iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, dihormati dan sejahtera.
"Kejayaan ini bukanlah pencapaian seorang individu, tetapi hasil kerjasama erat antara seluruh rakyat, agensi dan pemimpin yang bersama-sama mendukung satu aspirasi," katanya.
Ahmad Zahid berkata setiap usaha yang digembleng bertujuan membawa kemajuan kepada desa, memperkasa modal insan, memperkukuhkan ekonomi bumiputera, pembangunan Islam, meningkatkan pengurusan risiko bencana negara serta mengembangkan industri halal negara ke peringkat global.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memikul tanggungjawab itu.
-- BERNAMA