KANGAR: Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Shamsiah Yassin, berkata alasan mengiringi suaminya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon bagi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi sebab mengapa dia dipecat dari parti.

Shamsiah mengakui terkejut dengan keputusan memecatnya atas alasan beliau secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada PRU15.

Menurutnya, sepanjang tempoh kempen PRU15 juga beliau tidak dapat turun membantu calon BN dan hanya berada di rumah kerana semua akses sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian telah disekat oleh 'war room' parti berkenaan.

"Saya rasa ralat sebab baru-baru ini dipanggil Lembaga Disiplin UMNO menyatakan saya sabotaj Barisan Nasional (BN). Masa hari penamaan calon saya mengiringi suami sahaja atas dasar isteri calon tidak ada rasa nak sabotaj BN.

"Dua hari lepas saya dimaklum dipecat dan saya terkejut. Saya tidak puas hati sepatutnya Lembaga Disiplin panggil saya sebab surat tunjuk sebab sudah saya bagi pada 24 November lalu tapi tiba-tiba dipecat, tidak adil macam ini," katanya.

Shamsiah berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas di kediamannya di Taman Tembusu, di sini pada Ahad.

PANTAU KERAJAAN BAHARU DI SINI!

Politik UMNO | Iringi Sahihidan penamaan calon punca Shamsiah dipecat

Shamsiah merupakan antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.

Dua pemimpin lagi adalah Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abu Talib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keanggotaan ketiga-tiga mereka tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

[TERKINI] Annuar Musa, dua Ketua Wanita UMNO bahagian dipecat


Jelas Shamsiah, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu menilai kembali setiap tindakan dan keputusan yang diambil sehingga menyaksikan UMNO hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15.

"Tidak pernah saya mahu khianat pada parti sendiri. Saya tidak faham mengapa walhal orang yang sepatutnya diambil tindakan tidak diambil pula, terus buang orang itu buang orang ini.

"Buat macam-macam dalam ucapan 'No Anwar No DAP' sekarang apa dah jadi. Kalau UMNO nak kembali menjadi parti yang hebat, buatlah sesuatu. Pecat orang itu pecat orang ini apa yang dia dapat. Orang gelak sahaja," ujar beliau lagi.

Tambahnya, buat masa ini beliau akan bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO) Perpaduan Ummah untuk terus membantu masyarakat di Arau dan seluruh negeri Perlis.