KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Selasa.

Sokongan secara terbuka itu diumumkan menerusi satu kenyataan media yang dipaparkan menerusi laman Facebook rasminya.

Beliau turut memaklumkan keputusan itu dibuat bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat.

Ia termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk di laksanakan di Parlimen berkenaan dalam tempoh penggal perkhidmatannya.

Pada masa sama, sokongan turut diberikan terhadap inisiatif kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat di negara ini sehingga pilihanraya umum akan datang.

Tegasnya lagi, beliau tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi adalah wajar untuk Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Persekutuan.

Keputusan itu menyaksikan Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang ketiga mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.